Undi BN supaya wakil Cina, India ada dalam kerajaan Perak – Saarani
Saarani pada Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak 2022 yang disertai kira-kira 1,500 peserta dalam kalangan ahli Pemuda UMNO Perak di Dewan Merdeka di Lumut pada Sabtu. - Foto: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dasuki
LUMUT – Undi daripada masyarakat Cina dan India kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membolehkan wakil daripada MCA dan MIC menjadi anggota Exco kerajaan negeri sekiranya gabungan komponen itu kembali berkuasa, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Mengambil pengalaman PRU14, tidak ada seorang wakil rakyat daripada MCA atau MIC dalam kerajaan negeri Perak.
“Jadi, pengundi Cina dan India perlu memberi peluang kepada wakil daripada kaum mereka dalam BN kerana apa yang berlaku di (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor, pengundi di sana kembali memberi sokongan kepada BN semula,” katanya.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak 2022 yang disertai kira-kira 1,500 peserta dalam kalangan ahli Pemuda UMNO Perak di Dewan Merdeka di Lumut pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung BN yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Ditanya mengenai ura-ura Asyraf Wajdi akan bertanding kerusi Parlimen di Perak pada PRU15, Saarani berkata itu hanya spekulasi semata-mata. –