Wad jangka pendek bantu atasi kesesakan di jabatan kecemasan – Dr Zaliha

Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan wad jangka pendek atau ‘short stay ward’ bagi hospital yang mempunyai ruang sebagai inisiatif mengatasi masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif tersebut telah pun dilaksanakan di beberapa hospital dan mencadangkan supaya kriteria wad berkenaan ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu lama khususnya di zon kuning.

Katanya sistem pengurusan katil pesakit di hospital juga akan diperkemas agar penggunaannya dapat dikawal selia dan diurus dengan baik.

“Peningkatan jumlah pesakit dan kekurangan yang dihadapi KKM termasuk tenaga kerja serta fasiliti menyumbang kepada isu kesesakan di Jabatan Kecemasan, justeru perkara ini perlu ditangani dengan menyeluruh.

“Penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang harus dirangka segera dengan semua pihak berkepentingan demi kebaikan rakyat dan sektor kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, menurutnya KKM akan terus meneliti model kerjasama dengan agensi kerajaan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan sektor swasta supaya isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan menyeluruh dan berkesan.

Memberikan contoh penyumberluaran dan kerjasama dengan sektor swasta yang banyak membantu semasa pandemik COVID-19, Dr Zaliha berkata model-model seperti itu akan dilihat secara lebih khusus termasuk kerjasama dengan pengamal perubatan swasta.

“Digitalisasi sistem perkhidmatan kesihatan juga perlu dititikberatkan. KKM akan terus komited menaik taraf sistem teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sedia ada kepada sistem digital yang berpotensi membantu mengatasi masalah yang wujud,” katanya.

Menurut Dr Zaliha usaha mendapatkan lebih ramai tenaga kerja termasuk doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, profesional sains kesihatan bersekutu dan kakitangan sokongan akan terus dilakukan.

Selain itu, KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi mencari titik temu terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan dalam jangka masa sederhana dan panjang. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *