Wan Zahidi mula tugas secara rasmi sebagai Mufti Perak

Datuk Wan Zahidi Wan Teh. - Gambar media sosial.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Mufti Perak baharu, Datuk Wan Zahidi Wan Teh secara rasmi memulakan tugas di bangunan pejabat Jabatan Mufti Negeri Perak di sini, hari ini.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim kira-kira jam 8.30 pagi.
Sabtu lalu, beliau menerima watikah pelantikan berkenaan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pelantikan Wan Zahidi adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia 30 Mei tahun lalu.
Wan Zahidi ketika ditemui hari ini berkata beliau akan meneruskan legasi Allahyarham Harussani dalam usaha mengembangkan syiar Islam.
Menurutnya, beliau dan Allahyarham Harussani adalah sahabat lama dan mereka sering berjumpa ketika menyampaikan ceramah.
“Saya berasa terharu dan InsyaAllah kita akan meneruskan visi dan misi, jika ada keperluan dalam menyuarakan isu dan mengikut langkah beliau,” katanya.
Beliau berharap melalui pelantikan itu adalah satu penghormatan kepadanya dan akan berusaha membantu mengembangkan syiar islam dan isu agama islam yang boleh ditangani.
Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dilaporkan berkata, pelantikan Wan Zahidi didasari pengalamannya lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam.
Wan Zahidi yang berasal dari Gerik pernah menjawat pelbagai jawatan penting antaranya Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia, Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan dan Mufti Wilayah Persekutuan.
#PerakKini #MuftiPerak #mulatugas #Ipoh #Perak
