KUALA LUMPUR, 25 Jun – Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) menegaskan proses penjenamaan semula daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta perlembagaan parti.
Presidennya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, Mesyuarat Khas Perwakilan PCM yang diadakan pada 20 Jun lalu telah berlangsung secara tertib dan sebulat suara bersetuju menamakan semula parti itu sebagai Parti Wawasan Negara.

Menurut beliau, nama baharu itu mencerminkan semangat serta visi yang lebih luas dalam usaha memperkukuhkan perpaduan rakyat dan membina masa depan negara yang lebih baik.
“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) atas kepercayaan menerima Wawasan Negara sebagai sebahagian daripada keluarga besar gabungan tersebut,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Mengulas isu yang dibangkitkan beberapa pihak berhubung kedudukan parti itu, Hamzah berkata, Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan bahawa keputusan dalaman sesebuah pertubuhan berdaftar termasuk pelantikan pemegang jawatan dan pindaan perlembagaan adalah muktamad serta tidak boleh dicabar di mahkamah.
Katanya, peranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) adalah untuk mengemaskini daftar pertubuhan dan bukannya mempertikai atau membatalkan keputusan yang dibuat secara sah mengikut perlembagaan parti.
“Wawasan Negara tidak bercadang untuk melayan polemik yang sengaja diwujudkan kerana tumpuan kami adalah kepada usaha membela rakyat dan membangunkan negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hamzah mengumumkan Wawasan Negara tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor serta demi kepentingan lebih besar Perikatan Nasional dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Kami melihat kepada gambaran yang lebih besar dan memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama politik dalam PN menjelang PRU-16,” katanya.
Beliau turut menegaskan misi Wawasan Negara kekal sebagai wadah penyatuan rakyat serta jambatan kerjasama antara parti-parti yang berkongsi aspirasi Konsensus Nasional Baharu.
“Aspirasi tersebut merangkumi usaha mewujudkan kestabilan politik, memperkukuhkan perpaduan nasional dan menjamin masa depan negara yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.