Zambry tarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden UMNO

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir melalui hantaran Facebooknya malam tadi memaklumkan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden UMNO bagi Pemilihan UMNO yang berlangsung bulan depan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tugas rasminya sebagai Menteri Luar Negeri dalam kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada Pemilihan UMNO Sesi 2023-2026.

“Banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Ia juga sekali gus membawa imej UMNO yang saya wakili dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pada masa sama, sebagai Setiausaha Agung BN saya mahu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan BN dan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat di bahagian-bahagian yang telah menyatakan sokongan kepada beliau sebelum ini.

Pada 24 Feb lalu, Zambry mengumumkan untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu.

#PerakKini #UMNO #tarikdiri #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *