JAS jalin kerjasama dengan PBT kumpul e-sisa

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalinkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam meneruskan usaha pengumpulan buangan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) di seluruh negeri ini.
Ketua Penolong Pengarah (JAS), Muhamad Rizal Ramli berkata, sebelum ini pihaknya telah bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Kempen Pengumpulan Buangan Barangan Elektrik dan Elektronik peringkat negeri Perak sejajar dengan penerapan agenda ‘Perak Bumi Lestari’ yang dilancarkan pada Mac lalu.
“Pada kali ini, kita bekerjasama dengan PBT di Perak untuk mendidik cara pelupusan e-sisa yang betul kepada masyarakat.
“Setakat ini, terdapat tiga syarikat yang berlesen untuk mengumpul e-sisa dan salah satunya adalah Edsha Solutions Sdn Bhd.
“Apabila kita bekerjasama dengan PBT, orang ramai dapat tahu di mana mereka boleh menghantar e-sisa berkenaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Aktiviti Pengumpulan E-Waste peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena Hari Alam Sekitar 2021 di Persiaran Bougainvillea, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan Edsha Solutions Sdn Bhd, Edward Ponniah.
Sementara itu, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak berkata, di MBI program ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan sebagai permulaan ia membabitkan anggota MBI di lima lokasi terpilih.
Katanya, lokasi terbabit adalah Persiaran Bougainvillea (Pandu lalu) hari ini dan esok (jam 7.30 pagi hingga 11 pagi); Bahagian Perkhidmatan Bandar (7 Oktober); Taman Rekreasi Gunung Lang (8 Oktober); Perpustakaan Tun Razak (13 Oktober) dan Pejabat Lama MBI (14 dan 15 Oktober).
Tambahnya, masa untuk menghantar e-sisa di empat lokasi itu adalah dari jam 8 pagi hingga 11 pagi.
Bagaimanapun, Ahmad Munir berkata, orang ramai juga boleh menghantar e-sisa di lokasi terbabit.
“Peringkat seterusnya akan membabitkan komuniti diketuai Ahli Majlis di 24 zon bersama kontraktor pengumpulan e-sisa berlesen yang dilantik JAS untuk MBI iaitu Syarikat Edsha Solution Sdn Bhd,” ujarnya.
Ahmad Munir berkata, setiap item e-sisa yang diberikan kepada pihak kontraktor akan menerima token secara tunai mengikut harga yang telah ditetapkan.
“Orang ramai yang ingin menghantar buangan elektrik dan elektronik boleh merujuk poster yang diedarkan mengikut 24 zon,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pertandingan Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik Peringkat Negeri Perak tahun 2021 membabitkan semua PBT bermula 10 September hingga 21 Oktober depan dengan sasaran 10 tan e-sisa bagi setiap PBT.

