91.6% pelajar sudah terima vaksin- MB PERAK

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seramai 126,211 pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun seluruh di negeri Perak sudah mendaftar untuk
mendapat suntikan vaksin.
Program vaksinasi remaja yang dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak itu bermula sejak 20 September lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, seramai 115,617 pelajar atau 91.6 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Menurutnya, seramai 61,853 pelajar yang berusia 16 hingga 17 tahun sudah mendaftar dan 55,976 atau 90.5 peratus daripadanya sudah menerima vaksin.
“Bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula, 64,358 sudah mendaftar dan 59,641 atau 92.67 peratus telah mendapat suntikan vaksin,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di Sekolah Izzuddin Shah di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.
Menyentuh isu tular yang mendakwa terdapat kesan vaksin ke atas pelajar baru-baru ini, Saarani berkata melihat kepada jumlah peratus pelajar yang menerima dos vaksin menunjukkan ia tidak memberi kesan malah isu terbabit juga adalah palsu.
“Jadi, kepada seluruh rakyat di Perak terutama ibu bapa disarankan agar menjadi contoh teladan kepada anak-anak supaya mereka mengambil suntikan vaksin,” jelasnya.

