167 kes dicatatkan sepanjang pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam dari 5 Februari hingga semalam

Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa harga ayam di pasar sekitar Perak. - Foto: KPDNHEP Perak.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menggerakkan 176 penguat kuasanya melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negeri ini susulan penguatkuasaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Ogos 2022 dan pengapungan harga minyak masak tulen botol di pasaran.
Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata sebelum ini sepanjang Pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam bermula 5 Februari hingga semalam, sebanyak 10,780 premis diperiksa di Perak dengan 167 kes melibatkan 153 kes tiada tanda harga manakala 12 kes menjual melebihi harga maksimum.
Menurutnya, nilai sitaan keseluruhan adalah sebanyak RM13,073.53 dengan jumlah keseluruhan kompaun dihasilkan bernilai RM28,700.
Katanya, sebanyak 11 kes dicatatkan bagi ayam dan satu kes telur ayam yang dijual melebihi harga maksimum berlaku di daerah Manjung, Ipoh dan Taiping.
“Bagaimanapun berdasarkan pemeriksaan ke atas bekalan ayam, telur dan minyak masak di seluruh Perak mendapati keadaan stabil dan mencukupi malah tiada sebarang aktiviti sorok barang kawalan dikesan sepanjang pemeriksaan dilakukan.
“Berikutan itu, untuk memastikan bekalan barang terutamanya ayam, telur dan minyak masak sentiasa ada, KPDNHEP Perak akan melakukan pemeriksaan di semua peringkat rantaian iaitu di ladang, pemborong dan peruncit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Saifullizan turut mengingatkan peniaga supaya tidak menjual melebihi harga maksimum barangan harga terkawal.
“Peniaga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan KPDNHEP dengan meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal; memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan,” jelasnya.
#PerakKini #KPDNHEP #ayam #telurayam #Perak
