120 anak-anak ahli kariah Masjid As Syakirin Kampung Ulu Kuang teruja sertai Jom Audit Solat

Peserta Jom Audit Solat bergambar kenangan bersama Mazlan selepas selesai program berkenaan di Masjid As Syakirin Kampung Ulu Kuang, Chemor, pada Sabtu.

Oleh Rosdalilah Zahari

CHEMOR – “Saya amat teruja kerana diberi peluang untuk belajar cara solat dan bacaan surah Al-Fatihah yang betul,” kata Muhammad Syaqeel Syafiq Mohd Suhaimi, 12, salah seorang peserta Jom Audit Solat yang diadakan di Masjid As Syakirin Kampung Ulu Kuang, di sini pada Sabtu.

Muhammad Syaqeel Syafiq adalah antara 120 anak-anak ahli kariah masjid berkenaan yang mengikuti program tersebut.

Seorang lagi peserta, Ayriss Sofea Rosssaini, 10, berkata sebelum ini dia tidak menyedari kesalahan yang dilakukan semasa menjalani ibadah solat.

“Melalui program ini saya dapat memperbetulkan kesalahan yang tidak disedari sewaktu solat.

“Terima kasih kepada pihak masjid kerana memberi peluang untuk saya mengikuti prorgram ilmiah yang sangat berfaedah ini,” ujarnya.

Peserta Jom Audit Solat bergambar kenangan bersama Mazlan selepas selesai program berkenaan di Masjid As Syakirin Kampung Ulu Kuang, Chemor, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkata objektif utama program di bawah MBI Prihatin itu diadakan adalah untuk memberi ilmu solat yang sempurna kepada peserta.

Menurutnya, terdapat dua slot dalam program tersebut iaitu slot tertib solat dan slot bacaan surah Al-Fatihah yang betul.

“Kita akan meneruskan program ini dari semasa ke semasa di seluruh masjid sekitar DUN Hulu Kinta.

“InsyaALLAH pada 23 Julai ini jika ada rezeki kita akan mengadakan program ini dalam skala lebih besar di Masjid An Nur, Tambun,” katanya kepada Perak Kini.

Sementara itu, Pengerusi Masjid As Syakirin Kampung Ulu Kuang,  Ahmad Fauzi Abdul Rahim bersyukur kerana program ini mendapat sambutan menggalakkan.

“Terima kasih kepada Datuk Mazlan yang sudi mengadakan program ini dan berharap akan ada kerjasama lain bersama jemaah masjid pada masa hadapan,” ujarnya.

Hadir sama pada program ini Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) Ulu Kuang, Hamdan Ishak.

Dua penceramah yang terbabit dalam program itu adalah Pegawai Tadbir Agama Kampar, Abdul Muhaimin Abdul Majid (slot Tertib Solat) dan Guru Al-Quran Tahfiz Tambun, Muhammad Faez Mohammad Fadzil (slot Bacaan Surah Al-Fatihah yang Betul Dalam Solat).

#PerakKini #jomauditsolat #Chemora #Ipoh #Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *