239 lokasi cerun risiko sangat tinggi dikenal pasti di Perak

Foto: Korporat SUK Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sebanyak 239 lokasi cerun dikategorikan sebagai risiko sangat tinggi daripada 3,431 lokasi cerun dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di sekitar negeri ini.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata sebanyak 211 lokasi berada dalam kategori berisiko tinggi, 642 sederhana, 777 berisiko rendah dan 1,562 sangat rendah.
Katanya, beliau bersama-sama JKR Perak akan sentiasa memantau keadaan semasa supaya insiden yang berlaku di Batang Kali baru-baru ini tidak berulang di Perak.
“Selain itu, tiga laluan jalan turut dikategorikan sebagai sangat kritikal iaitu Jalan Tapah-Cameron Highlands (FT059), Jalan Baling-Gerik, Lebuh Raya Timur-Barat (FT004), dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (FT185).
“Jalan Tapah-Cameron Highlands di daerah Batang Padang mencatatkan jumlah cerun berisiko sangat tinggi paling banyak iaitu sebanyak 128 lokasi, dengan 59 lokasi berisiko tinggi,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah JKR Perak Ir Hamdan Ali.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Nizar berkata JKR turut menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati melalui jalan tersebut terutamanya pada musim hujan yang kapasitinya dilihat sangat luar biasa.
“Bagaimanapun, tidak ada keperluan untuk menutup Jalan-jalan tersebut buat masa ini.
“Setakat ini, hasil pemantauan JKR juga mendapati masih belum ada lokasi-lokasi yang berpotensi berlaku seperti di Batang Kali,” jelasnya.
Pada awal Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya yang setakat ini mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.
#PerakKini #JKR #pantau #cerun #Perak
