3 rakan penyamun dicekup, polis selesai kes pecah rumah, samun warga emas di Bercham

Foto Hiasan Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Tiga rakan penjenayah yang giat melakukan aktiviti pecah rumah dan samun di rumah sepasang suami isteri warga emas di Taman Ria, Bercham bulan lalu akhirnya berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan di dua lokasi berasingan pada jam 2 dan 2.30 petang semalam di Bercham.

Menurutnya, polis mengadakan satu operasi khas bagi memburu kesemua suspek terbabit selepas tiga kali memecah masuk rumah mangsa pada 2,11 dan 24 Mei lalu hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM27,000.

“Susulan kejadian tersebut polis mengadakan satu operasi khas dan menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 33, 39 dan 41 tahun dalam dua serbuan berasingan sekitar jam 2 dan 2.30 petang di Bercham pada Khamis.

“Polis turut berjaya merampas beberapa barang kes termasuklah kenderaan yang digunakan suspek dan barangan milik mangsa semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis sedang mengenal pasti jumlah sebenar kes yang dilakukan kumpulan ini dan suspek direman mulai hari ini untuk siasatan lanjut.

#PerakKini #PDRM #pecahrumah #samun #wargaemas #Bercham #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *