35 warga Indonesia dicekup sembunyi dalam kebun sawit disyaki terlibat kes penyeludupan manusia di Manjung

Oleh Rosdalilah Zahari

MANJUNG – Seramai 35 warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan manusia di Segari pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebuah bot yang terdampar di pesisir pantai Segari bersama sekumpulan orang dipercayai warga Indonesia, pada jam 9.45 pagi.

Menurutnya, hasil pencarian di kawasan kebun sawit di Segari, pasukan polis berjaya menjejaki 35 warga Indonesia terdiri daripada 24 lelaki, 10 perempuan serta seorang kanak-kanak yang bersembunyi di kebun tersebut.

“Hasil siasatan awal daripada salah seorang warga Indonesia yang ditahan itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan di sebuah restoran makanan laut di kawasan Kampung Bharu, Sitiawan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes penyeludupan manusia dan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan manusia dan Antipenyeludupan migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959.

“Kesemua tangkapan akan direman bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Manjung, Inspektor Muhammad Solehuddin Rahmat di talian 013-790 885 bagi membantu siasatan.

#PerakKini #PDRM #seludup #manusia #warga #Indonesia #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *