4 lelaki dicekup curi kabel TM di Gerik

Oleh Rosdalilah Zahari

GERIK – Polis menahan empat lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian di Gerik Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata tiga suspek berusia 30 dan 34 tahun ditahan di Kilometer (KM) 26 Jalan Raya Timur Barat Fasa 2 di sini, pada Jumaat manakala seorang lagi suspek berusia 50 tahun ditahan di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Menurutnya, pada 30 Jun jam 4.30 pagi, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat sebuah lori berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan Sekolah Menengah Gerik, Jalan Kuala Kenderong, di sini.

“Bertindak atas maklumat tersebut, petugas kereta peronda (mpv) dan Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik tberjaya menahan lori berkenaan yang dipandu lelaki berumur 34 tahun bersama dua lelaki berumur 30 tahun di KM26, Jalan Raya Timur Barat Fasa 2.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu pemotong kabel dan 42 gulungan kabel yang dipotong tertera tulisan Telekom Malaysia (TM) Berhad disimpan di bahagian belakang lori tersebut.”

“Ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan dan polis merampas kesemua barang kes tersebut.

“Kesemua suspek direman mulai 30 Jun sehingga 3 Julai yang kemudiannya disambung sehingga 5 Julai untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zulkifli berkata pihak TM sudah membuat pemeriksaan dan mengesahkan bahawa kabel tersebut milik mereka dan membuat laporan di Balai Polis Gerik pada hari yang sama.

Katanya, nilai kerugian dianggarkan lebih kurang RM15,600.

“Hasil siasatan lanjut, pada 2 Julai pada jam 1.30 petang pihak polis berjaya menangkap seorang lagi suspek berusia 50 tahun di Sungai Petani, Kedah yang disyaki terlibat sama dalam kes ini.

“Suspek ditahan reman mulai hari ini sehingga 6 Julai untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencuri kabel agar tindakan pembanterasan dapat terus dipertingkatkan.

#PerakKini #PDRM #curikabel #TelekomMalaysia #Gerik #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *