Kejayaan misi ulang bekal MALBATT 850 ke Lubnan bukti komitmen, kesiapsiagaan TLDM

Foto: Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kapal Diraja (KD) Mahawangsa melalui Pelayaran Misi Ulang Bekal Malaysia Batalion (MALBATT) 850 ke Lubnan berjaya membuktikan komitmen dan tahap kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melengkapkan misi yang telah diamanahkan.

Bahagian Komunikasi Markas Pemerintahan Armada Barat melalui satu kenyataan memaklumkan misi pertama berjaya dicapai apabila kapal tiba di Beirut, Lubnan pada 2 Januari lalu selepas belayar selama 34 hari di lautan.

“Ia disusuli dengan kejayaan misi kedua melalui penyertaan International Fleet Review (IFR) di Cox’s Bazar, Bangladesh pada 6 hingga 9 Disember tahun lalu yang menghimpunkan sebanyak 28 buah angkatan laut sahabat dari seluruh dunia.

“Selain itu, kapal turut berpeluang memperkasakan diplomasi pertahanan dengan Tentera Laut India

(TLI) semasa pelayaran pulang melalui lawatan operasi di Kochin dari 28 hingga 31 Januari baru-baru ini serta melaksanakan Passing Exercise (PASSEX) bersama INS Savitri pada 5 Februari lalu,” kata kenyataan itu.

Katanya, misi ulang bekal MALBATT 850 yang dilaksanakan kali ini adalah berskala sederhana serta berdasarkan kepada kapasiti dan kemampuan KD Mahawangsa.

“Walaupun berjaya dilaksanakan serta membuktikan komitmen TLDM, namun kita tidak boleh bergantung harap kepada aset sedia ada sekiranya terdapat peluang ulang bekal berskala besar.

“Keupayaan bantuan logistik TLDM boleh dipertingkatkan melalui kapal Multi-Role Support Ship (MRSS) dengan keupayaan yang lebih tinggi dan misi seperti ini boleh dilaksanakan dengan lebih pantas dan berskala besar,” ujarnya.

#PerakKini #TLDM #MALBATT850 #Malaysia #Lubnan #India #Bangladesh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *