MBI tidak lindung mana-mana pihak terbabit gejala rasuah – Datuk Bandar

Foto Majlis Bandaraya Ipoh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan gejala  rasuah.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata sebarang bentuk ketirisan wang awam yang disebabkan oleh perlakuan rasuah akan dihentikan serta-merta dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil.

Menurutnya, perbuatan rasuah bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, malahan sebarang bentuk pemberian atau tajaan yang mendorong seseorang individu untuk melakukan atau tidak melaksanakan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi sebagaimana yang telah diamanahkan kepada individu terbabit.

“Selain itu, perlu kita fahami bahawa salah guna kuasa pula berlaku apabila seseorang individu menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan. Ia juga sebenarnya merupakan perbuatan rasuah yang perlu ditolak dan dicela.

“MBI juga tidak akan berkompromi dengan pelaku-pelaku rasuah dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya sesiapa yang didapati bersalah, perlu menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.

“Tidak kira walau apa jua agama, aktiviti rasuah amat keji dan dibenci, manakala daripada segi moral, perbuatan memberi dan menerima rasuah adalah tidak berintegriti. Individu yang dihukum atas kesalahan rasuah bukan sahaja dibenci, malahan keluarganya turut akan dihina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Program Bual Bicara Integriti Bersama Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching di Dewan Azlan Shah, MBI pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Bandaraya Ahmad Munir Ishak.

Dalam ucapan itu beliau turut memaklumkan bahawa perbuatan rasuah akan menyebabkan imej, persepsi dan kepercayaan masyarakat terjejas kepada sesuatu organisasi seperti pepatah, ‘Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga’.

“Semoga warga MBI akan menjauhi perbuatan rasuah demi menjaga imej baik diri sendiri, keluarga dan MBI dalam mencari rezeki yang halal lagi diberkati serta sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima dengan bekerja bersungguh-sungguh dan berusaha memajukan diri dengan kudrat sendiri,” katanya yang mengakhiri ucapan.

#PerakKini #MBI #tolakra3suah #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *