50 INSTITUSI PENDIDIKAN TERIMA SUMBANGAN KHAS

Oleh Deen Ibn Ameen

TAIPING – Kira-kira 50 buah institusi pendidikan Islam sekitar Parlimen Bukit Gantang menerima sumbangan khas bagi meringankan beban yang dihadapi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini.

Sejumlah RM250,000 telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam majlis penyampaian sumbangan yang diadakan di Pusat Khidmat Perikatan Nasional Bukit Gantang, dekat sini.

Dalam ucapannya, Syed Abu Hussin berharap bantuan one-off ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh pengurusan institusi pendidikan, guru-guru dan ibu bapa para pelajar yang sangat terkesan dengan arahan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac yang lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) menyatakan sumbangan ini adalah peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan Yayasan Al-Fasal dan ianya diharap dapat membantu institusi pendidikan Islam tersebut meneruskan aktiviti seperti biasa disamping meringankan kos operasi institusi berkenaan.

Turut hadir, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bukit Gantang, Tuan Ahmad Man dan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Sumbangan disampaikan kepada Mudir dan wakil-wakil daripada Sekolah Rendah Agama Rakyat, Pusat Tahfiz dan Pondok seluruh Parlimen Bukit Gantang itu diadakan pada tiga majlis berasingan mengikut DUN bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *