50,000 pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Malaysia Madani Perak

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kira-kira 50,000 pengunjung hadir memeriahkan Rumah Terbuka Malaysia Madani Peringkat Negeri Perak 2023 yang diadakan di Sunway Lost World Tambun, di sini malam ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke rumah terbuka tersebut dan ketibaan baginda disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira jam 8.20 malam.
Berangkat sama ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Barisan Exco Kerajaan Negeri.
Pelbagai juadah istimewa disediakan untuk pengunjung yang datang antaranya nasi kukus ayam goreng berempah, sate ayam dan daging, bihun sup, ketupat, lemang, rendang ayam, cendol, serta pelbagai minuman.
Pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tempatan Datuk Jamal Abdillah, Ella, Syamel, Ernie Zakri, Floor 88, Sufian Suhaimi dan P Radhi.
#PerakKini #RumahTerbukaMalaysiaMadani #LWOT #Perak #RBZ
