57 pengusaha makanan di Perak sertai insiatif Menu Rahmah

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail menyampaikan Bakul Rahmah kepada penerima dari golongan kurang berkemampuan pada Majlis Pelancaran Jualan Rahmah di Aeon Big, Falim di sini pada Isnin.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kira-kira 57 pengusaha makanan di Perak menyertai inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40 dengan harga yang rendah sejak diperkenalkan akhir bulan lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata inisiatif menu tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengusaha makanan di seluruh Perak.
Menurutnya, pada masa sama pihaknya sedang berusaha mengajak pengusaha premis makanan di sekitar Perak untuk menyertai inisiatif Menu Rahmah ini.
“Setakat ini terdapat 57 penyertaan (Menu Rahmah) daripada pengusaha makanan di seluruh Perak. Jadi saya yakin angka ini akan bertambah dari semasa ke semasa.
“Saya juga sedang berusaha untuk melibat urus bersama Persatuan Makanan India Muslim, pengusaha tomyam serta pengusaha makanan lain yang berminat untuk melaksanakan Menu Rahmah di premis perniagaan masing-masing
“Bagaimanapun, Menu Rahmah ini sukarela, kita tak memaksa, kita anggap ini satu inisiatif daripada kerajaan untuk disahut oleh pengusaha-pengusaha bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat kita dan berharap lebih ramai sertainya di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jualan Rahmah di Aeon Big, Falim di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengurus Stor Aeon Big Falim, Badrul Hafiz Mohammad dan Pengurus Kanan Aeon Midtown Falim, Tan Yee Lean.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamalludin berkata pengusaha yang berminat untuk menawarkan Menu Rahmah atau inisiatif di bawah Payung Rahmah boleh berbuat demikian dengan mendaftar di laman sesawang KPDN.
Terdahulu, Kamalludin menyampaikan Bakul Rahmah kepada keluarga daripada kumpulan B40 dan miskin tegar pada majlis pelancaran tersebut.
#PerakKini #KPDN #MenuRahmah #Perak
