Perak Bikers Trail produk terbaru Tourism Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Tourism Perak akan melancarkan Perak Bikers Trail pada bulan hadapan bagi merancakkan konsep pelancongan bermotosikal di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata penunggang motosikal boleh menikmati pemandangan yang lebih menarik di laluan-laluan selain lebuh raya dengan melalui kampung-kampung tradisional.

Menurutnya, setiap hujung minggu Perak dilihat sering menjadi destinasi pilihan konvoi kumpulan bermotosikal untuk melihat keunikan yang terdapat di sini.
“Setiap hari minggu akan penuh certain areas seperti di Sungkai, Selama, Kerian dan kita lihat kumpulan bermotosikal (singgah).

“Justeru, kita akan bekerjasama dengan Unit Pelancongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah masing-masing bagi menaik taraf fasiliti pelancongan dalam usaha untuk kita reboost semula pelancongan susulan pasca Covid-19,” katanya kepada Perak Kini selepas menghadiri majlis penutup konvoi bermotosikal Perak Tour 2021 yang disempurnakan Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman di Kafe Konda Kondi di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh,  Superintendan Mohamed Nordin Abdullah; Pengurus Besar Sunway Lost World of Tambun (LWOT), Nurul Nuzairi Mohd Azhari; Pengerusi Rawyell Riders, Mohd Asraf Alias; Pengerusi Throttle Riot, Raja Susrina Raja Khalid dan Route Master bagi Perak Tour 2021, Zunaidi Mohd Radzi.

Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa pada majlis penutup konvoi bermotosikal Perak Tour 2021 di Kafe Konda Kondi di sini, malam tadi.
Penganjur dan tetamu jemputan yang hadir pada majlis penutup konvoi bermotosikal Perak Tour 2021 di Kafe Konda Kondi di sini, malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa (kanan) bersama Pengerusi Throttle Riot, Raja Susrina Raja Khalid pada majlis penutup konvoi bermotosikal Perak Tour 2021 di Kafe Konda Kondi di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada 26 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menjayakan konvoi berkenaan.
Katanya, inisiatif kumpulan bermotosikal dengan Tourism Perak itu secara tidak langsung membantu memacu semula ekonomi negeri khususnya dari sudut pelancongan.

“Oleh itu, kita berharap program ini dijadikan program tahunan supaya dapat mengangkat negeri Perak menjadi tempat pelancongan terhebat,” ujarnya.

Perak Tour 2021 adalah program konvoi bermotosikal anjuran Rawyell Riders dan Throttle Riot dengan kerjasama Tourism Perak, LWOT dan Petron bertujuan memperkenalkan lokasi serta produk pelancongan menarik di Perak.

Konvoi yang diadakan selama dua hari ini menggunakan laluan jalan lama sekali gus memperkenalkan sembilan daerah asal di Perak.
Antara lokasi yang dilalui sepanjang program itu termasuklah Kampung Sumpitan, Lenggong; Lata Tebing Tinggi dan Lata Puteh, Selama serta Bukit Berekeh, Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *