Belum reda isu ayam timbul ura-ura kopi, teh naik harga

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Belum reda isu harga ayam, kini timbul ura-ura harga minuman kopi dan teh bakal naik pada tahun hadapan.

Difahamkan, terdapat aduan daripada pengusaha kedai kopi dan minuman yang mendakwa harga minuman itu dijangka mengalami kenaikan harga.
Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata setakat ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perak tidak menerima aduan berhubung kenaikan harga minuman kopi dan teh.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak yang membuat aduan berhubung perkara itu.

“Setakat ini, hanya ura-ura sahaja akan dinaikkan (harga minuman kopi dan teh).

“Berikutan itu, kita galakkan pengguna untuk membuat aduan dan di pihak KPDNHEP, pegawai pemantau setiap hari akan menjalankan pemantauan di seluruh negeri,” katanya.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri (kanan) bersama Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman pada sidang media selepas sesi walkabout pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) Peringkat Negeri Perak di Pasar Raya Econsave Bandar Seri Botani, di sini.
Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri (kanan) beramah mesra dengan pembeli pada sesi walkabout pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) Peringkat Negeri Perak di Pasar Raya Econsave Bandar Seri Botani, di sini.
Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri (tiga kanan) melihat harga timun yang dijual pada sesi walkabout pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) Peringkat Negeri Perak di Pasar Raya Econsave Bandar Seri Botani, di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi walkabout pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) Peringkat Negeri Perak di Pasar Raya Econsave Bandar Seri Botani, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman; Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Dottie Azlina Ismail dan Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang.

Sebelum ini, sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan kedai kopi tradisional atau dalam bahasa umumnya kopitiam dijangka menaikkan harga minuman sebanyak 60 sen pada tahun hadapan.

Perkara ini dimaklumkan Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura Wong Teu Hoon yang berkata antara faktor kenaikan harga adalah disebabkan kos operasi yang semakin meningkat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *