Sokong Aspirasi Keluarga Malaysia, beri bantuan tanpa kira bangsa & agama

IPOH – Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman mahu program bantuan kepada rakyat dilaksanakan secara berterusan sepanjang masa dan bukan hanya dilaksanakan secara bermusim.
Menurutnya, bantuan dan sumbangan juga harus diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama sejajar dengan konsep Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita amat mendukung AKM yang merangkumi keluarga besar di Malaysia melibatkan pelbagai kaum yang secara tidak langsung membentuk satu perpaduan.
“Perkara ini adalah penting bagi kita jaga untuk survival semua kaum. Jadi, bagi menuju negara perpaduan, kita perlu membentuknya bermula dari peringkat bawahan.
“Justeru, kita perlu berkongsi rezeki bagi memastikan kehidupan yang baik dapat dinikmati oleh semua kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain serta tanpa mengira agama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jiwa Murni dan Penyampaian Kotak Makanan di The Bojen Car Wash and Spa, di Tambun Jaya, pada Khamis.
Program kongsi rezeki ini adalah hasil inisiatif dan kerjasama The Bojen Car Wash and Spa; Pasar Raya Econsave; Kedai Emas Rozita dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Perak.
Seramai 70 orang penerima terdiri daripada penduduk kurang berkemampuan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta termasuk penganut beragama Kristian yang akan menyambut perayaan Krismas menerima sumbangan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang berkata pihaknya menyokong konsep AKM dan akan meneruskan pemberian bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.
“Sumbangan seperti ini akan diberikan dari semasa ke semasa bagi menunjukkan tanda keprihatinan kita kepada rakyat yang memerlukan bantuan,” ujarnya.






Sementara itu, Pengurus The Bojen Car Wash and Spa, Mohd Salorwadi Mohd Nor mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama berganding bahu menjayakan program berkenaan sempena AKM.
“Pagi tadi, kira-kira 80 anggota PERHEBAT Perak telah mengadakan gotong royong bagi membersihkan Maah Ad Dirasah Al-Islamiah (MADI) dan kemudiannya hadir ke sini untuk menjayakan program ini.
“Program sebegini tidak akan terhenti di sini. Oleh itu, kita akan terus memastikan lebih ramai rakyat dibantu supaya mereka dapat bertahan dalam meneruskan kehidupan harian,” jelasnya.
Turut hadir memeriahkan program itu, Pengurus PERHEBAT Perak, Leftenan (B) Azri Baharum dan Pemilik Kedai Emas Rozita, Mohd Zanizan Shahrir.
