Sasar kumpul sehingga 500 tan metrik barangan e-sisa  tahun ini – Exco

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Masih ramai masyarakat yang kurang peka mengenai pelupusan sisa barangan elektrik dan elektronik (e-sisa) yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan alam sekitar.

 

Justeru, Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk agensi berkaitan mengadakan Kempen Pengumpulan Buangan Barangan Elektrik dan Elektronik bagi mengumpul barangan tersebut bagi tujuan kitar semula.

 

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata pada tahun ini Perak mensasarkan sehingga 500 metrik tan e-sisa dapat dikumpul menerusi kempen berkenaan.

Mohd Akmal (tengah) menunjukkan risalah berkaitan aktiviti pengumpulan e-sisa anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena Hari Alam Sekitar Negara 2022.
Mohd Akmal melepaskan anak-anak ikan di Program Sambutan Hari Bumi Sedunia dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2022 Peringkat Negeri Perak di Taman D R Seenivasagam, pada Jumaat.
Mohd Akmal (dua kiri) merasmikan Program Sambutan Hari Bumi Sedunia dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2022 Peringkat Negeri Perak di Taman D R Seenivasagam, pada Jumaat.
Mohd Akmal mengadakan gimik meletakkan komputer riba di dalam tong pengumpulan barangan e-sisa.

 

“Tahun ini kita mensasarkan lebih tinggi, kita yakin kerana tahun lalu kita sasar 40 tan metrik tetapi kita mendapat lebih daripada itu iaitu 340 tan metrik.

 

“Jadi, kalau sasaran tahun ini 80 metrik tan, InsyaALLAH Allah kita boleh dapat 400 atau 500 tan metrik e-sisa,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Sambutan Hari Bumi Sedunia dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2022 Peringkat Negeri Perak di Taman D R Seenivasagam, pada Jumaat.

 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Rosli Zul dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

 

Mohd Akmal berkata di bandar raya Ipoh, kempen itu akan diadakan di lima lokasi terpilih kawasan Parlimen pada setiap Sabtu dan Ahad minggu ketiga setiap bulan mulai 21 Mei hingga 30 November ini.

 

“Lima kawasan itu adalah di Parlimen Ipoh Barat di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bercham; Parlimen Batu Gajah di Dewan Orang Ramai Jelapang; Parlimen Ipoh Timor di Dewan Pasir Pinji; Parlimen Gopeng di tapak pasar malam Rapat Setia serta Parlimen Tambun di Padang Lintau Manjoi,” jelasnya.

 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa warga Ipoh yang menyertai aktiviti pengumpulan e-sisa anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena Hari Alam Sekitar Negara 2022 berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai cabutan bertuah bernilai RM10,000 sepanjang ia berlangsung sehingga 30 November ini.

 

#PerakKini #JAS #MBI #esisa #ewaste

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *