Ibu bapa perlu aktif PIBG, platform terbaik bantu tingkat prestasi anak-anak

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Ibu bapa disaran untuk membabitkan diri secara aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah anak mereka bagi memupuk hubungan erat dengan warga sekolah dan pendidik.
Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata sebarang penganjuran aktiviti oleh PIBG terutamanya mesyuarat adalah masa paling sesuai untuk mengetahui prestasi akademik dan kokurikulum anak-anak mereka di sekolah.
Menurutnya, interaksi yang baik antara ibu bapa bersama warga sekolah dan pendidik secara tidak langsung membantu untuk membincangkan dan menyelesaikan perkara yang berkaitan dengan anak-anak.
“Hari ini saya berkesempatan menyampaikan beberapa kaedah terbaik kepada ibu bapa yang hadir cara untuk menaikkan martabat sekolah bagi memastikan anak-anak cemerlang dalam pengajaran dan pembelajaran.



“Antaranya termasuklah melaksanakan audit solat untuk anak-anak beragama Islam tahun satu hingga enam bagi meyakinkan mereka melalui pendidikan awal bahawa solat itu penting dalam kehidupan harian.
“Selain itu, mencari jalan penyelesaian terbaik bagi ibu bapa yang berhadapan dengan masalah rumah tangga dan serta ekonomi tidak stabil dengan mengadakan program bersama mereka serta menanganinya melalui penerapan nilai-nilai Islam.
“Teknik menjawab soalan juga perlu diadakan bersama anak-anak ini supaya mereka dapat mencapai keputusan cemerlang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-40 Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Rambutan bertempat di Dewan Komuniti Taman Berjaya, Tanjung Rambutan di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) PIBG, Mohd Nooramin Kaw Abdullah; Naib YDP PIBG, Masri Adlan Mohd Nawawi; Guru Besar merangkap Penasihat PIBG, Jasmaney Saidin dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tambun, Mejar (B) Zulkefli Mohd Noor.
#PerakKini #PIBG #SKTanjongRambutan
