Tembok penghadang jalan dijangka siap dalam tempoh sebulan

Kontraktor sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih tembok penghadang jalan yang runtuh di Taman Ipoh Timur pada 18 Jun lalu.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Tembok penghadang jalan yang runtuh di Taman Ipoh Selatan, di sini, pada 18 Jun lalu dijangka siap dibaik pulih sepenuhnya dalam tempoh sebulan.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh berkata kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kini sedang giat menjalankan kerja-kerja membaik pulih tembok berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini terdapat longkang di atas tembok itu yang tersumbat dan tidak boleh digunakan sehingga menyebabkan aliran air hujan daripada jalan berhampiran masuk dan memenuhinya sehingga mengakibatkan tembok tersebut runtuh.
“Selain pembinaan semula tembok yang runtuh, pihak kontraktor turut membina semula longkang baharu di bahagian atas.
“Longkang itu akan membantu melancarkan aliran air daripada jalan berhampiran untuk mengalir keluar jika hujan lebat berlaku.
“Justeru, kerja baik pulih itu diharap dapat mengurangkan risiko untuk kejadian yang sama berulang pada masa hadapan dan pengguna boleh menggunakan jalan tersebut dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Perak Kini hari ini.
Pada 18 Jun lalu, sebanyak enam kenderaan pelbagai jenis yang diparkir di sepanjang tembok itu rosak akibat ditimpa runtuhan berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
#PerakKini #MBI #tembok #runtuh #baikpulih #selamat
