Kerja baik pulih ‘sinkhole’ dijangka siap 15 Julai ini

Saiful Azzuan (empat kiri) bersama Cally Ting (tiga kiri) meninjau kawasan sinkhole tersebut pada Isnin.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB) akan memastikan lubang besar (sinkhole) yang berpunca daripada tanah runtuh sehingga menyebabkan tembok sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) roboh di jalan berhampiran Parkview Sanctuary, Bandar Cyber di sini siap sepenuhnya pertengahan Julai ini.

Pengurus Besarnya, Ir Saiful Azzuan Aznam berkata pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada orang awam dan kerja-kerja pembaikan sudah bermula sejak minggu lalu.

Menurutnya, setakat ini pagar sementara sudah dipasang untuk dijadikan sebagai penahan serta tambakan juga telah dilaksanakan supaya kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Perkara ini berpunca daripada resapan air bawah tanah sehingga menyebabkan tanah mendap kerana mengikut aliran itu dan lama-kelamaan menjadi satu lubang yang besar.

“Faktor hujan yang berlaku terlalu banyak sepanjang tiga bulan lalu juga menyebabkan struktur asas menjadi lemah dan sehingga terjadinya runtuhan berkenaan,” katanya ketika meninjau kawasan itu pada Isnin.

Kerja-kerja yang dijalankan PEISB di kawasan sinkhole tersebut.

Hadir sama, Penyelaras MCA Parlimen Gopeng Cally Ting Zhao Song dan Naib Pengerusi MCA Parlimen Gopeng, Kok Pak Foo.

Beliau berkata, jika dilihat kawasan ini agak bahaya kerana terletak berhampiran selekoh, jadi sejurus mendapat aduan pihaknya segera menjalankan kerja-kerja pembaikan.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang membantu untuk kita melaksanakan kerja-kerja baik pulih dengan segera,” ujarnya yang memaklumkan kos untuk pembaikan jalan itu adalah sebanyak RM20,000.

Sementara itu, Cally Ting berkata pihaknya mendirikan satu jawatankuasa khas untuk menangani isu-isu berkaitan infrastruktur yang berlaku di sekitar Parlimen Gopeng.

Katanya, kepada penduduk di Parlimen Gopeng yang ingin membuat aduan mengenai masalah infrastruktur yang dihadapi di kawasan mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian hotline 016-5605125.

#PerakKini #aduan #sinkhole #ParkviewSanctuary #Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *