Kerajaan negeri serah kepada Maju Perak, MBI berhubung isu pengurusan Tasik Cermin 

Nolee Ashilin pada sidang media di Program Latihan Hospitaliti Negeri Perak Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di Shen Jai TVET College di sini pada Khamis.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya isu berhubung pengurusan kawasan pelancongan Tasik Cermin, Simpang Pulai membabitkan syarikat konsesi terdahulu kepada Maju Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Difahamkan, syarikat konsesi terdahulu yang dilantik sudah banyak melabur bagi menguruskan kawasan pelancongan itu.

Berikutan itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menyarankan supaya Maju Perak dan MBI mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkaitan isu berkenaan.

“Itu kita (kerajaan negeri) minta MBI dan Maju Perak berbincang atas budi baik bicara masing-masing untuk melihat sama ada membantu atau tidak pihak (syarikat konsesi terdahulu) yang sudah melabur.

“Jadi, kita di pihak kerajaan negeri, tidak terlibat dalam proses tersebut tetapi ia dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat penuh di peringkat MBI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Latihan Hospitaliti Negeri Perak Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di Shen Jai TVET College di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Nolee Ashilin berkata setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang laporan atau cadangan berhubung pengurusan kawasan pelancongan itu.

“Saya masih belum dapat apa-apa laporan ataupun berkenaan cadangan untuk meneruskan perkhidmatan dari segi konsep dan sebagainya daripada Maju Perak.

“Tetapi saya percaya kerja tersebut akan mengikut nilai piawaian yang ditetapkan oleh pihak MBI,” ujarnya.

Menurutnya, perkara itu lebih kepada keputusan membabitkan perniagaan dan kerajaan negeri menyerahkannya kepada Maju Perak untuk berbincang dengan syarikat yang lain untuk tindakan lanjut.

Terdahulu media melaporkan, sebuah syarikat konsesi baharu dilantik bagi menguruskan kawasan pelancongan Tasik Cermin di Simpang Pulai di sini selepas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menjelaskan bahawa pelantikan itu dibuat berikutan syarikat konsesi sebelum ini gulung tikar.

#PerakKini #MBI #MajuPerak #TasikCermin #SimpangPulai #konsesi #baharu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *