Tiada rayuan kurangkan kompaun bagi pembuang sampah haram mulai 3 Ogos ini – Datuk Bandar Ipoh

Gambar fail
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengenakan tindakan tegas ke atas pembuang sampah haram dengan mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 tanpa sebarang rayuan mulai 3 Ogos ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud memandang serius terhadap isu pembuangan sampah haram yang dilihat mencalarkan imej wargakota Ipoh.
Menurutnya, MBI mengecam tindakan segelintir penduduk di bandar raya ini yang gemar membuang sampah haram sesuka hati.
“Sehubungan itu, mulai 3 Ogos ini mereka yang gemar membuang sampah haram sesuka hati bakal dikenakan tindakan tegas oleh MBI
“MBI akan mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 tanpa sebarang rayuan kepada pembuang sampah haram di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata perbuatan membuang sampah harap perly dihentikan segera kerana memberikan contoh tidak baik, sebaliknya wargakota Ipoh, perlu memainkan peranan penting dalam menjaga moral dan sivik.
“Tindakan ini diambil sejajar dengan usaha berterusan MBI bagi mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih 2023 serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik di Malaysia,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi memaklumkan
bermula 1 Januari hingga 30 Julai, MBI telah membersihkan 1,672 lokasi longgokan sampah haram sebanyak 3,765 kali dan mengeluarkan 780 kompaun bernilai RM205,590.
“MBI turut menjalankan 17 gotong-royong serta memasang 83 papan tanda “Dilarang Membuang Sampah” di sekitar bandar raya ini.
“Sehubungan itu, tanggungjawab ini bukan terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan penglibatan semua pihak.
“Tindakan mengkompaun adalah jalan terakhir selepas tindakan lain tidak diendahkan oleh wargakota Ipoh,” ujarnya.
#PerakKini #MBI #sampah #kompaun
