Arwah Fajim tidak berniat untuk berhenti dari dunia penerbangan walaupun pernah terbabit dalam insiden pesawat 18 tahun lalu

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang maut dalam tragedi pesawat ringan terhempas malam tadi pernah terselamat dalam insiden pesawat lain pada tahun 2004.

Ibu saudara Allahyarham, 54, berkata sebelum ini Allahyarham pernah hilang selama beberapa hari akibat tersangkut di atas pokok selepas pesawat MiG-29 dipandunya pada November 2004 terhempas.

Menurutnya, arwah bapa Allahyarham juga terkorban akibat nahas pesawat pada tahun 2019.

“Arwah yang amat meminati bidang penerbangan tidak pernah menyatakan hasrat untuk berhenti,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Dia turut menyifatkan anak saudaranya itu seorang yang peramah dan baik hati.

“Jarak umur kami yang tidak jauh beza membuat saya antara yang rapat dengan arwah serta keluarganya, malah arwah sering membawa isteri dan anak-anaknya ke rumah kami.

“Kali terakhir arwah dan isteri ke rumahnya di Klebang Damai, di sini, adalah berbuka puasa pada Ramadan lalu.

“Selepas Ramadan lalu, dia ada memberitahu akan menziarahi saya semula Aidiladha lalu, namun hajat itu tidak kesampaian,” katanya.

Tinjauan Perak Kini mendapati isteri, anak Allahyarham tiba di Unit Forensik HRPB menaiki sebuah kereta dipandu anggota dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira jam 1.25 pagi tadi bagaimanpun berbesar dari kawasan itu kira-kira 15 kemudian.

Difahamkan berlepas dari Semenyih, Selangor selepas dimaklumkan mengenai insiden nahas terbabit.

Selain itu, turut difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibedah siasat pagi ini sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Allahyarham adalah jurulatih penerbangan yang terbabit dalam insiden pesawat ringan jenis Piper PA 28 yang terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah – Sungai Rokam berhampiran jejantas menuju ke Sungai Pinji dekat Medan Gopeng, di sini, pada malam Selasa.

Seorang lagi mangsa cedera masih dirawat di HRPB.

#PerakKini #pesawatringan #kapalterbang #terhempas #Ipoh #Perak

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *