16 pasar raya di Perak masih jual minyak masak botol di bawah harga siling

Saifullizan (kanan) ketika mengadakan walkabout bagi meninjau harga minyak masak kemasan botol di Pasaraya Billion Mart Jelapang, pada Selasa.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mendapati 16 pasar raya di sekitar negeri ini menawarkan harga minyak masak botol lebih murah berbanding harga siling.
Pengarahnya, Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata berdasarkan pemantauan yang dijalankan di 56 pasar raya sekitar negeri ini, 16 daripadanya menawarkan harga minyak masak botol dengan harga yang lebih rendah.
Beliau turut menggalakkan pengguna untuk menggunakan aplikasi ‘Price Catcher’ bagi membuat perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan.
“Hasil pemantauan yang dilakukan sejak semalam mendapati peniaga memberi kerjasama baik serta mematuhi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Tinjauan itu turut mendapati ada peniaga yang masih menjual minyak masak botol kemasan 5 kilogram (kg) dengan harga RM29.70.
“Dalam masa sama, ada peniaga menawarkan minyak masak botol dengan harga lebih rendah dari harga siling yang ditetapkan.
“Jadi kita harap mana-mana peniaga yang boleh menjual minyak masak kemasan botol di bawah harga siling yang ditetapkan kita sangat alu-alukan.
“Usaha tersebut dapat membantu pengguna yang terbeban dengan kenaikan kos harga barang,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas mengadakan Walkabout Pemantauan Pelaksanaan Penentuan Harga Runcit Maksimum Bagi Minyak Kelapa Sawit Masak Tulen Kemasan Botol di Pasaraya Bilion Mart Jelapang, di sini, pada Selasa.
Saifullizan turut mengingati kepada peniaga runcit supaya sentiasa mematuhi kawalan harga siling minyak masak botol yang ditetapkan kerajaan.
“Jika sabit kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 mendapati peniaga runcit menjual melebihi harga kawalan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi perseorangan manakala denda tidak melebihi RM50,000 bagi syarikat,” jelasnya.
Sebelum ini, KPDNHEP memaklumkan harga bagi minyak masak botol 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg masing-masing ditetapkan pada harga RM7.70, RM14.70, RM21.70 dan RM34.70 di peringkat runcit seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
#PerakKini #KPDNHEP #minyakmasakbotol #Perak
