Tiga lelaki ditahan terbabit dalam judi online Piala Dunia

Foto Hiasan
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis Perak menahan tiga lelaki tempatan disyaki terbabit dengan kegiatan perjudian bola sepak sempena Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX yang dilancarkan sejak 21 November lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar negeri ini.
Menurutnya, dua lelaki ditahan di Hilir Perak manakala seorang lagi di Ipoh.
“Aktiviti pertaruhan Op Soga di Kontinjen Perak dikesan menggunakan satu aplikasi yang membolehkan pelanggan membuat pertaruhan di alam maya.
“Suspek hanya perlu ‘top up’ (tambah nilai) aplikasi tersebut melalui pembelian ‘top up’ atau secara terus di premis yang menyediakan ‘top up’ berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Beliau berkata melalui kedua-dua serbuan itu pihaknya berjaya merampas dua telefon bimbit yang digunakan sebagai alat peranti dan wang tunai berjumlah RM900.
Katanya, kesemua suspek terbabit telah direman bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.
“Justeru, tindakan berterusan sedang dijalankan untuk memerangi aktiviti ini secara menyeluruh,” katanya.
#PerakKini #PDRM #OpSoga #PialaDuniaQatar2022 #Ipoh #HilirPerak
