Polis jalan siasatan, Lenggong masih aman, tiada rusuhan seperti didakwa

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Isu tular di sosial media berhubung rusuhan dan perhimpunan haram dalam kalangan ahli sebuah parti di Lenggong yang berlaku Isnin lalu kini dalam siasatan polis kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung untuk membentuk kerajaan negeri.

“Setakat ini, kita sudah mengarahkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Perak untuk melakukan siasatan terperinci terhadap penyebaran video Tiktok itu.

“Di samping itu, siasatan turut dijalankan bagi mengenalpasti punca, gambar yang dimuatnaik itu diambil semasa penugasan kawalan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa malam penjumlahan undi.

“Mereka ini sangat kreatif mengambil gambar di fasa berlainan dan kemudian ‘compile’ selepas itu reka cerita bahawa ada berlaku situasi tidak aman terutama di kawasan Lenggong, seperti mana kita tahu Lenggong adalah kawasan Menteri Besar kita

“Susulan itu, sepasukan anggota turut ditempatkan di sekitar kawasan Dewan Merdeka di Lenggong bagi menjalankan pemantauan namun tiada sebarang rusuhan seperti didakwa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.

Berikutan isu tular itu, Mohd Yusri berkata satu laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.

#PerakKini #PDRM #tular #rusuhan #palsu #BarisanNasional #PakatanHarapan #Lenggong #PascaPRU15

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *