Susulan bantuan persekolahan RM109,000 hilang: Hak murid akan dipertahankan – Fadhlina

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan murid yang sepatutnya menerima wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di sebuah sekolah di Beranang, Selangor hari ini namun wang itu disamun selepas dikeluarkan dari bank oleh guru besar sekolah itu semalam mendapat hak mereka dalam masa terdekat.

Menterinya Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya memandang serius terhadap perkara tersebut tambahan pula melalui siasatan awal yang dijalankan mendapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika pengeluaran wang dilakukan.

Menurutnya, berdasarkan SOP yang ditetapkan, pengeluaran wang sehingga RM10,000 disyaratkan perlu ada sekurang-kurangnya dua pengiring.

“Kita ambil serius kerana kehilangan ini melibatkan jumlah yang cukup besar dan SOP kewangan telah dilanggar, kita ada SOP yang ketat bahawa (pengeluaran wang) lebih RM10,000 mesti ada pengiring, ini kan pula satu jumlah yang amat besar.

“Kita sedang menunggu laporan polis dan JPN Selangor, jadi saya tak boleh simpulkan selagi tak dapat laporan penuh JPN dan polis. Kita akan umumkan tindakan yang akan diambil,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini pada Selasa.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, wang BAP berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan oleh seorang guru besar  untuk sebuah sekolah di Beranang itu hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun itu  mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Fadhlina mengumumkan peruntukan berjumlah RM150,000 kepada SK Chepor dan terdahulu RM400,000 untuk SK Seri Tanjung, Tanjung Rambutan RM400,000 bagi tujuan penambahbaikan fasiliti dan penyelenggaran sekolah.

#PerakKini #KementerianPendidikan #seirus #BAP #hilang #SKChepor #SKSeriTanjung

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *