Polis serbu rumah jadi stor simpanan rokok seludup, rampas rokok bernilai RM184,800

Polis merampas 231 kotak yang mengandungi rokok seludup di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar semalam. - Foto PDRM

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis merampas 11,550 karton pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai kastam bernilai RM184,800 disembunyikan dalam sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan di Bandar Universiti, Seri Iskandar dekat sini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata bertindak atas maklumat awam, pasukan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah telah menjalankan Op Kontraban berkaitan penyeludupan rokok di Jalan Ipoh-Lumut.

Menurutnya, ketika polis sedang melakukan operasi tersebut terdapat sebuah kereta yang mencurigakan dan mereka bertindak mengekori kenderaan tersebut.

“Polis mendapati sebuah kereta jenis Proton Exora berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan dan bertindak mengekorinya sebelum kenderaan itu berhenti di sebuah rumah di Bandar Universiti, dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.

“Suspek bertindak masuk ke dalam rumah dan mengeluarkan beberapa kotak besar kemudian memasukkannya ke dalam kereta.

Polis merampas 231 kotak yang mengandungi rokok seludup di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar semalam. – Foto PDRM

“Susulan itu, polis menyerbu suspek dan membuat pemeriksaan di dalam kereta serta rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui 231 kotak besar dengan 11,550 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM184,800 dengan nilai cukai kastam dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.

“Turut dirampas sebuah kenderaan Proton Exora 1.6 CC dan dua telefon bimbit serta barang-barang lain berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Beliau berkata suspek lelaki berusia 43 tahun itu direman mulai hari ini hingga 17 Februari bagi membantu siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jika terdapat sindiket penyeludupan rokok di Perak.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan rokok diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis,” ujarnya.

#PerakKini #PDRM #rokok #seludup #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *