Video tular kemalangan di Jalan Kuala Kangsar, polis saman pemandu kereta

Tangkap layar kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Wira Aeroback dan motosikal di Jalan Kuala Kangsar yang tular di media sosial. - Foto Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis telah mengeluarkan notis saman kesalahan trafik ke atas pemandu wanita berusia 44 tahun yang bertindak mengubah laluan keretanya secara mengejut sehingga melanggar seorang penunggang motosikal di Jalan Kuala Kangsar sepertimana tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata kes itu disiasat di bawah Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN66/59) kerana memotong secara berbahaya.

Menurutnya, pihaknya telah menerima laporan daripada pemandu kereta jenis Proton Wira Aeroback berhubung kemalangan itu pada Sabtu jam 7.30 malam.

“Dalam kejadian pada Jumaat lebih kurang jam 7.35 malam itu pemandu kereta terbabit dipercayai dalam perjalanan menghala ke Chemor dan bertindak mengubah laluan dari lorong tengah ke lorong kiri secara mengejut.

“Pada masa sama, mangsa, penunggang motosikal lelaki berusia 30 tahun yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri kereta tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit telah terbabas dan terjatuh di jalan raya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahu kanan, luka di lutut, siku dan muka dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat yang memaparkan sebuah kereta melanggar seorang penunggang motosikal Grab Food sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan.

#PerakKini #kemalangan #video #tular #JalanKualaKangsar #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *