Polis jejak individu tidak bertanggungjawab buang 13 Al-Quran dalam longkang

Oleh Rosdalilah Zahari
KUALA LUMPUR – Polis kini giat menjejaki individu yang dipercayai bertindak membuang 13 naskah Al-Quran susulan penemuan beberapa naskah kitab suci itu oleh orang awam di dalam sebuah longkang di Tasik Sri Murni Jinjang di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata hari ini pada jam 11.32 pagi, pihaknya polis menerima aduan dari seorang wanita berusia 52 tahun yang juga ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan, di mana memaklumkan berhubung penemuan beberapa naskah kitab suci Al-Quran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, penemuan Al-Quran itu dipercayai pada jam 6.30 petang dan video mengenai penemuan tersebut juga telah tular di platform media sosial TikTok.
“Hasil siasatan mendapati wanita terbabit sedang beriadah bersama suaminya dan ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik.
“Pemerhatian pengadu mendapati senaskah Al-Quran dalam keadaan terbuka dan telah terkeluar dari beg tersebut.
“Kemudian, pengadu meminta bantuan dari seorang lelaki yang tidak dikenali berada berhampiran dengannya untuk membawa naik beg itu.
“Kesemua naskah Al-Quran itu telah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas Kampung Selayang Lama untuk disimpan,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskah Al-Quran yang ditemui dalam longkang dan dipercayai sengaja dibuang oleh orang tidak bertanggungjawab.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci Al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama,” jelasnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan serta menjejaskan ketenteraman awam terutama kepada masyarakat umum.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2206,” katanya.
#PerakKini #tular #buang #AlQuran #longkang #KualaLumpur #RBZ
