PM bangga pencapaian Michelle Yeoh harumkan Malaysia di pentas antarabangsa

Oleh Rosdalilah Zahari
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah di atas kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh kerana mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa selepas merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-95 menerusi lakonannya dalam filem ‘Everything Everywhere All At Once.’
Menurutnya, pelakon kelahiran Ipoh itu adalah pelakon pertama di Asia Tenggara yang memenangi anugerah berprestij itu.
“Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan.
“Tahniah dan syabas dari seluruh rakyat Malaysia,” katanya melalui ciapan di laman Twitternya pada Isnin.
Yeoh, 60, menewaskan empat pelakon lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Cate Blanchett (Tar), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle William (The Fabelmans).
Filem ‘Everything Everywhere All At Once’ juga turut memenangi enam anugerah lain termasuk Filem Terbaik pada majlis yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat hari ini.
Terdahulu, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama, iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.
#PerakKini #PMX #AnwarIbrahim #MichelleYeoh #Oscar2023 #tahniah #RBZ
