Cadang wujud ‘Hall of Fame’ hargai tokoh terkenal asal Ipoh termasuk Michelle Yeoh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam perancangan untuk mewujudkan ‘Hall of Fame’ (galeri khas) bagi menghargai dan memperkenalkan tokoh serta individu berasal dari Ipoh yang mengharumkan nama Malaysia sama ada di dalam negara mahupun persada antarabangsa.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pemenang Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-95 Tan Sri Michelle Yeoh antara nama besar yang akan berada dalam galeri khas itu serta beberapa tokoh terkenal anak kelahiran Ipoh.

“Pertama sekali, kita ucapkan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh di atas kejayaannya itu.

“Tan Sri ini (Michelle Yeoh) boleh diibaratkan sebagai  ‘influencer’ (pempengaruh) bagi bandar raya Ipoh.

“Dengan kejayaan yang dicapai oleh Tan Sri Michelle Yeoh, kita mengharapkan nama itu akan lebih berkembang lagi supaya ia bukan sahaja menarik pelancong domestik tetapi mungkin juga pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media jika ada perancangan untuk mewujudkan sebuah muzium khas untuk menghargai jasa anak seni kelahiran Ipoh itu.

Rumaizi ditemui media selepas menyempurnakan Pra Pelancaran Green Green Restoran dan Kafe di Bandar Meru Raya pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya turut bercadang untuk menempatkan tokoh serta nama besar lain di galeri khas tersebut.

“Setakat ini terdapat beberapa tokoh dalam pemikiran kita.

Kita mungkin berfikir untuk buat Hall of fame bukan sahaja untuk Tan Sri Michelle Yeoh tetapi beberapa orang lagi yang ada nama besar yang kita boleh letak sekali,” ujarnya.

Semalam, Yeoh mencipta sejarah apabila menjadi bintang Asia pertama yang merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-95 menerusi lakonannya dalam filem ‘Everything Everywhere All At Once.’

Filem ‘Everything Everywhere All At Once’ juga turut memenangi enam anugerah lain termasuk Filem Terbaik pada majlis yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat semalam.

#PerakKini #MBI #HallofFame #MichelleYeoh #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *