Perak tubuh jawatankuasa khas, teliti keperluan pembangunan sekitar Proton City

Foto BERNAMA

TANJUNG MALIM – Kerajaan Perak menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti keperluan pembangunan sekitar kawasan Proton City di sini menjelang 2027, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata kini sudah hampir 3,000 pekerja Proton Holdings Bhd (Proton) sudah berpindah dan baki 4,000 akan berbuat demikian secara berperingkat sehingga 2026, sekali gus memerlukan kerajaan negeri memastikan keperluan seperti perumahan dan sekolah adalah tersedia.

“Jadi saya yakin dengan kebanjiran pekerja Proton ini yang akan datang bersama pasangan dan keluarga yang akhirnya akan menjadikan kawasan ini sebuah bandar baharu yang akan dapat memberi nikmat ekonomi kepada daerah Muallim dan Batang Padang.

“Kita memang sudah ada sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk SS (Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim) untuk melihat keperluan menjelang 2027,” katanya pada sidang media selepas merasmikan fasiliti terbaharu kilang Proton dan melancarkan produk SUV terbaharu Proton di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana kerajaan negeri dapat bantu memudahkan urusan mereka yang akan menetap atau bekerja di kawasan itu pada masa hadapan.

Terdahulu dalam ucapannya, Saarani berkata beliau dimaklumkan kini terdapat kira-kira 3,000 pekerja Proton di Tanjung Malim dan jumlah itu dijangka bertambah dua kali ganda kepada 7,000 orang menjelang 2026, sudah cukup mencerminkan impak berganda kepada prospek ekonomi yang bakal dinikmati penduduk sekitar kawasan berkenaan.

“Malah, selepas 20 tahun di Perak, Proton telah banyak memberi sumbangan dari segi pelaburan, pekerjaan dan pembayaran cukai. Setakat ini, saya difahamkan, cukai sebanyak RM150 juta telah disumbang Proton kepada kerajaan negeri.

“Dari segi pelaburan, sebanyak RM2.3 billion telah dilabur sejak 2018 sehingga 2022 untuk menambahkan fasiliti di kilang Proton, malah dengan pelancaran model baharu SUV ini, ada lima model Proton bakal dihasilkan di sini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *