Lima sekeluarga maut kereta langgar belakang lori

Foto Ihsan JBPM
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Lima sekeluarga maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori muatan pasir di Kilometer 310.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan awal pagi tadi.
Mangsa maut dikenali sebagai Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun; Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8 tahun; Ahmad Uwais Al Qorni Nasaruddin, 5 tahun dan Azriyani Abdul Latif, 45 tahun.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7 tahun yang mengalami cedera parah di kepala dan berada dalam keadaan kritikal meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tapah pagi ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 2.42 pagi tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki ibu bersama empat orang anaknya itu dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Teluk Intan.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian pemandu kereta dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori yang membawa muatan pasir.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta (23 tahun) dan tiga penumpang iaitu ibu dan dua orang anak masing-masing berusia 45, 8 dan 5 tahun maut di lokasi kejadian.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pagi Selasa.
Mohd Yusri berkata, waris kepada semua mangsa yang juga bapa kepada pemandu kereta yang kini berada di Bertam, Pulau Pinang telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, Inspektor Arif Khairiri di talian 014-368 4870.
#PerakKini #PDRM #JBPM #kemalangan #maut #RBZ
