Mayat lelaki bertatu tanpa identiti ditemui terapung dalam Tasik Bukit Merah

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Satu mayat lelaki bertatu ditemui terapung dalam Tasik Bukit Merah, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat tanpa identiti itu daripada orang awam lebih kurang jam 3.30 petang.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat, anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dibantu pihak bomba segera ke lokasi kejadian dan menemukan mayat terapung itu dalam keadaan tertiarap dan mula mengembung serta mereput.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut menemukan tatu di bahagian lengan kanan, bahu kanan, bahu kiri serta  tulisan ‘Ushra’ pada lengan kanan mayat lelaki terbabit.

“Hasil siasatan turut mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang awam yang ada kehilangan ahli keluarga atau maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05-7212222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

#PerakKini #PDRM #mayat #bertatu #TasikBukitMerah #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *