Lelaki berkelakuan aib, hambur kata-kata kesat berbaur perkauman dicekup polis

Tangkap layar video tular lelaki yang dipercayai ditahan polis kerana berkelakuan aib dan mengeluarkan kata-kata kesat di sebuah restoran di Falim pada 14 Mei.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang lelaki yang rakaman videonya tular di media sosial kerana berkelakuan aib dan menghamburkan kata-kata kesat berbaur perkauman di sebuah restoran di Falim baru-baru ini ditahan polis pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata suspek berusia 42 tahun warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam di Ampang Baru di sini.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 14 Mei berhubung kejadian tersebut yang berlaku di sebuah restoran di Falim, Menglembu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (berkelakuan aib).
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis ganja dan polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan kes untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi cadangan pertuduhan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut sehingga menjejaskan siasatan polis mahupun mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 18 saat mengenai satu kejadian lelaki berkelakuan aib di sebuah restoran di Falim.
Dalam rakaman video tersebut turut kedengaran suara seorang wanita dipercayai pekerja restoran tersebut.
#PerakKini #PDRM #video #tular #perkauman #RBZ
