Dua pengedar dadah ditahan, rampas ganja lebih 7.4 kg di Ipoh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis menahan dua lelaki dipercayai mengedar dadah jenis ganja di Kampung Sungai Rokam dan Taman Sri Rokam pada Isnin serta awal pagi Selasa.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata tangkapan pertama oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah di Kampung Sungai Rokam pada jam 12.15 tengah malam Isnin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemui sejumlah peket dan ketulan mampat dadah jenis ganja dengan anggaran berat 7.4 kilogram (kg), anak benih disyaki pokok ganja dan cecair ganja sebanyak 90 mililiter (ml) yang dianggarkan bernilai RM25,547.

“JSJN Perak turut menyita tiga kenderaan, lapan utas jam tangan, seutas rantai, dua bentuk gelang dan wang tunai berjumlah RM150,000 serta merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Anggaran nilai keseluruhan harta yang disita berjumlah RM699,182 dan tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, susulan tangkapan pertama membawa kepada penahanan suspek kedua di sebuah rumah di Taman Sri Rokam di sini jam 1.15 pagi pada Selasa.

“Suspek lelaki berusia 52 tahun itu ditahan bersama ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran berat 40 gram (gm) bernilai RM400,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan kedua-dua suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak tahun 2021.

Katanya, dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan sekitar negeri ini dan jumlah rampasan boleh digunakan seramai 3,000 orang penagih dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Mei bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Azizi berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Justeru, PDRM Perak menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah supaya tindakan pembanterasan dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada jenayah ini,” katanya.

#PerakKini #PDRM #rampas #dadah #Ipoh #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *