Lebih 5,000 hadir Program Penyatuan Ukhuwah Fisabilillah yang diadakan buat julung kali

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Program Penyatuan Ukhuwah Fisabilillah dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang julung kali diadakan di Meow Garden, di sini malam tadi berjaya menarik kehadiran lebih 5,000 orang termasuk dari Kedah dan Johor.
Penyelaras Program, Mohd Salorwadi Mohd Nor berkata program yang mengumpulkan 16 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai latar belakang itu diadakan bertujuan untuk berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim serta rakan-rakan sempena sambutan Syawal.
Menurutnya, walaupun program ini hanya dirancang dalam tempoh seminggu pihaknya berjaya mengumpul dana sebanyak RM54,000.

Katanya, dana itu digunakan untuk menguruskan persiapan majlis ini serta memberi sumbangan duit raya kepada 60 orang anak yatim dari Asrama Anak Yatim Soleha Tanjung Tualang dan Darul Mufarakah.
“Pada majlis ini, kita turut meraikan atlet Muay Thai negara yang menjadi wira dengan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia melalui kejayaan mereka pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2023 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
“Kita juga berkongsi rezeki dengan menyampaikan duit raya kepada dua buah rumah anak yatim.

“Melalui, program ini rakan-rakan dari persatuan dan NGO terlibat secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim serta bertukar buah fikiran cara terbaik untuk membantu anak muda memandangkan majoriti yang hadir terdiri daripada ahli perniagaan.
“Dalam perbincangan yang diadakan kita turut bercadang mengadakan kursus untuk anak muda yang ingin menceburi bidang perniagaan,” katanya.
#PerakKini #kongsirezeki #anakyatim #atlet #muaythai #RBZ
