Sidang DUN: Dewan Negeri Perak berwajah baharu selepas 25 tahun

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Mesyuarat Ketiga Tahun Pertama DUN Perak ke-15 yang akan diadakan mulai Isnin ini berwajah baharu berikutan pengubahsuaian ruang dalaman Dewan Negeri.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata permohonan untuk menaik taraf dewan tersebut adalah melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan membabitkan kos RM1 juta.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf mula dilaksanakan sejak Februari lalu dan siap sepenuhnya pada bulan ini.

“Antara pengubahsuaian yang dibuat membabitkan ruang dalaman dengan menaik taraf meja dan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Sebelum ini, beberapa penambahbaikan sudah dibuat seperti naik taraf sistem audio dan visual serta karpet di dalam dewan tersebut.

“Penambahbaikan ini diharap dapat memberikan keselesaan dan suasana yang lebih segar seiring dengan iltizam memartabatkan Dewan Negeri sebagai institusi legislatif tertinggi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Speaker DUN Perak, Jenny Choy Tsi Jen.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Zahir berkata, kali terakhir pengubahsuaian Dewan Negeri itu dibuat kira-kira 25 tahun lalu.

“Kebanyakan meja dan kerusi sudah tidak sesuai digunakan malah ada yang reput kerana ia diperbuat daripada kayu,” katanya.

Ruang dalaman, kerusi dan meja Dewan Negeri sebelum diubah suai. Foto media sosial

Sementara itu, menyentuh mengenai Sidang DUN Perak yang akan diadakan selama empat hari bermula 22 Mei (Isnin) hingga 25 Mei (Khamis) ini beliau berkata terdapat dua usul yang akan dibentangkan kerajaan.

“Dua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibawa oleh pihak kerajaan pada sidang kali ini adalah Enakmen Hotel Perak 2023 yang akan dibawa oleh Sandrea Ng Shy Ching dan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 yang akan dibawa oleh Datuk Mohd Zolkafly Harun.

“Seramai 46 orang ADUN akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan dua RUU berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad juga akan membawa dua usul iaitu Usul Meminda Perkara 38, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan serta Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara.

#PerakKini #SidangDunPerak #wajahbaharu #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *