Tiada isu harga gula naik, bekalan cukup – Exco Perak

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Penduduk Perak tidak perlu gusar memandangkan bekalan gula di sekitar negeri ini mencukupi malah harganya masih dalam keadaan
terkawal.
Exco Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong berkata setakat ini kerajaan memberi jaminan harga gula tidak akan dinaikkan dan bekalannya akan kekal mencukupi di pasaran.
Menurutnya, mulai Januari sehingga semalam, sebanyak 29,397 pemeriksaan telah dijalankan dengan lima aduan berjaya diselesaikan berkaitan bekalan dan harga gula di sekitar negeri ini.
“Lima aduan yang diterima adalah di Manjung (tiga), Gerik (satu) dan Taiping (satu). Malah, satu kes telah diambil tindakan kompaun serta merta sebanyak RM500 kerana menaikkan harga gula sehingga RM3.20 sekilogram (kg),” katanya sewaktu sidang media di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.
Menyentuh mengenai dakwaan isu penjualan gula premium yang berharga RM4.80 sekilogram di Taiping seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Mohd Fakhrudin Abdul Aziz pada sesi Sidang DUN semalam, Kah Leong berkata perkara itu tidak benar.
“Semalam saya pergi ke beberapa pasar raya dan melihat semua gula dijual pada harga kawalan. Tiada gula premium (dijual) kalau ada buktikan.
“Justeru, peniaga dinasihatkan supaya mematuhi kebenaran yang diberikan tersebut serta tidak terlibat dengan kegiatan menyorok atau mensabotaj bekalan, mengenakan syarat pembelian dan menjual melebihi harga kawalan bagi gula,” jelasnya.
Untuk makluman, gula adalah barang harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan harga borong gula bertapis kasar RM2.77/kg dan gula bertapis halus RM 2.85/kg manakala harga runcit gula bertapis kasar RM2.85/kg dan gula bertapis halus RM 2.95/kg.
#PerakKini #KPDN #gula #bekalan #cukup #harga tidaknaik #RBZ
