3,917 poster, kain rentang ah long diturunkan di Ipoh

Polis akan menyerahkan kesemua poster dan iklan yang diturunkan pada Ops Vulture kepada MBI untuk tujuan pelupusan.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sebanyak 3,917 poster dan kain rentang iklan berkaitan pinjaman wang tanpa lesen atau lebih sinonim dengan nama ‘ah long’ yang digantung di sekitar bandar raya ini diturunkan menerusi Ops Vulture pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, operasi bersepadu itu membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah, Komersil dan Narkotik selain 25 balai polis di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Kesemua poster dan kain rentang yang diturunkan itu diserahkan kepada MBI untuk tujuan pelupusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen atau meminjam wang melalui mana-mana aplikasi atas talian yang dijalankan oleh peminjam wang tanpa lesen.

Menurutnya, permohonan pinjaman wang boleh dibuat melalui saluran yang betul seperti di institusi kewangan berlesen atau syarikat pemberi pinjam yang diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

#PerakKini #PDRM #MBI #OpsVulture #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *