Pemandu jengkaut maut dihempap batu 10 tan

Foto Ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu seberat 10 tan ketika melakukan kerja-kerja membersihkan letupan kuari di sebuah kawasan kuari di Simpang Pulai, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan itu kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, dalam kejadian antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang itu mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan batu di dalam kawasan kuari tersebut.

“Ketika menjalankan kerja-kerja tersebut, mangsa dipercayai dihempap batu seberat 10 tan dari ketinggian 25 meter sehingga menyebabkan dia tersepit di dalam kokpit jengkaut itu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata mangsa berusia 48 tahun dari Gerik itu berjaya dikeluarkan dari jengkaut tersebut oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 6.45 petang dan kematian mangsa disahkan petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

#PerakKini #PDRM #JBPM #jengkaut #hempap #batu #maut #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *