Kerajaan negeri melalui Perak SADC peruntuk RM5 juta bangunkan sektor agropelancongan

Mohd Zolkafly (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama di antara Perak SADC dengan Papan Agro Valley Sdn Bhd di Lot 51300 Mukim Belanja, di sini pada Selasa.
BATU GAJAH – Kerajaan Perak sentiasa menggalakkan industri agropelancongan yang ternyata mampu memberi impak besar terutamanya dalam membantu meningkatkan sektor ekonomi di negeri ini.
Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukkan RM5 juta bagi membangunkan sektor agropelancongan pada tahun ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata secara dasarnya Perak SADC komited dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya bukan sekadar bergantung kepada komoditi sawit semata-mata malah turut mengembangkan perniagaan dalam bidang pertanian berasaskan industri agropelancongan.
Menurutnya, sebelum ini Perak SADC bergiat secara proaktif dalam memperluaskan bidang agropelancongan dengan membangunkan beberapa lokasi di sekitar negeri ini.
“Antara tempat yang telah dibangunkan adalah seperti Perak Agrotourism Resort (PATRO) Sungai Galah, Taman Herba, Masoorat Heritage Park, Denai Kabus dan Ulu Piah.
“Semua lokasi tersebut menampilkan pelbagai aktiviti yang mampu menarik kehadiran pengunjung seperti eksplorasi gua, camp site, berbasikal, ATV, memancing, herb tour dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama di antara Perak SADC dengan Papan Agro Valley Sdn Bhd di Lot 51300 Mukim Belanja di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya dan Pengurus Besar Kanan Papan Agro Valley Sdn Bhd, Syed Muhammmad Haidzir Al Yahya Syed Kamal Al Yahya.
Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata Perak SADC juga dalam perancangan untuk melancarkan program agropelancongan dengan kerjasama Tourism Perak serta beberapa agensi-agensi lain di Hulu Perak pada penghujung tahun ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.
“Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk membuka ruang kepada para pemain industri mempromosi produk-produk pelancongan mereka kepada masyarakat dan secara tidak langsung berpotensi untuk meningkatkan penjanaan pendapatan masing-masing.
“Inisiatif tersebut turut terkandung dalam Pelan Perak Sejahtera 2030,” jelasnya.
Katanya, Perak SADC akan membangunkan satu lagi projek pembangunan agropelancongan serta tanaman integrasi di kawasan Papan yang diharap mampu memberi nilai tambah sekaligus mengembangkan lagi industri tersebut di Perak yang dilihat mampu menjadi daya tarikan baharu khususnya kepada pengunjung domestik dan luar negara.
#PerakKini #PerakSADC #PPPNP #agropelancongan #Perak #RBZ
