Pulau Pinang mahu bincang beli air terawat dari Perak – Saarani

qrf
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan menerima surat permohonan daripada kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air terawat daripada negeri ini.
Menurutnya, surat tersebut dihantar kerajaan Pulau Pinang kira-kira dua bulan lalu bertujuan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Perak berhubung pembelian air terawat untuk kegunaan penduduk di Pulau Mutiara itu.
Katanya, Lembaga Air Perak (LAP) sebelum ini sudah menjual air terawat untuk kegunaan penduduk di Nibong Tebal dan bayaran yang dibuat mengikut penggunaan meter.
“Jadi, air terawat di Perak kita boleh jual di mana-mana, yang tak boleh ini ialah air Sungai Perak (air mentah) itu nak diambil untuk dipindahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, bagaimanapun Saarani berkata kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk memberi air mentah kepada mana-mana negeri termasuk air terawat.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya untuk membuat keputusan memberi air kepada mana-mana negeri sehingga kita dapat memastikan bahawa kegunaan air di negeri Perak ini sendiri mencukupi.
“Walaupun orang nampak limpahan air di Tasik Temengor, Tasik Banding dan Tasik Chendroh, air yang ditakung itu tak boleh diusik kerana itu khusus untuk kegunaan bagi penjanaan tenaga elektrik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang meminta
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, campur tangan bagi membolehkan rundingan dibuat supaya Pulau Pinang memperoleh bekalan air mentah dari Perak khususnya menerusi Sungai Perak sidang Dewan Rakyat Rabu lalu.
Pada Mac tahun lalu, Saarani membuat keputusan untuk tidak membekalkan air ke Pulau Pinang kerana mengambil kira beberapa kajian berhubung impak pengaliran keluar air dari Sungai Perak terhadap prestasi empangan jana kuasa elektrik serta kegunaan sektor perkilangan.
#PerakKini #LAP #airterawat #airmentah #SungaiPerak #RBZ
