PKMM gesa kerajaan kaji semula VOP besi, simen

Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menggesa kerajaan untuk mengkaji semula klausa perubahan harga (VOP) bagi besi dan simen dengan segera memandangkan harga bahan binaan itu didapati dinaikkan sesuka hati oleh segelintir pembekal tidak bertanggungjawab.
Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata harga besi kini sudah meningkat lebih RM3,000 satu tan berbanding dahulu hanya RM2,000.
Tambahnya, harga simen juga turut naik secara mendadak dan menyebabkan kontraktor terkesan akibat kenaikan tersebut.
“Sekarang ini besi dah naik sampai dekat Rm3,300 satu tan. Kalau dulu RM2,000 lebih satu tan RM500, RM600 beza. Bayangkan kalau seribu tan buat satu bangunan, berapa? Kiralah sendiri.
“Harga simen pun dah naik dan dengar kata nak naik lagi. Siapa boleh kawal? Kita kontraktor hanya melaksana dan tak boleh hasilkan benda-benda itu (bahan binaan). Macam kita nak jadi supplier besi pun tak boleh.
“Sepatutnya, harga besi dan simen tidak boleh naik ikut suka memandangkan ia adalah barangan kawalan.
“Sehubungan itu, kerajaan kena kaji balik semula (VOP) dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Negeri Perak Kali Ke-46 di Casuarina @ Meru yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Agung PKMM merangkap Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Wira Jamaluddin.
Katanya, jika harga bahan binaan ini tidak diberi perhatian, kontraktor akan berhadapan dengan risiko gulung tikar.
#PerakKini #PKMM #kerajaan #kajisemula #harga #VOP #simen #besi #RBZ
